Pupur Muka
Jika anda tidak berkesempatan membelai wajah di spa, kami ada cara untuk membantu anda menghasilkan pupur sendiri tanpa perlu keluar dari rumah sendiri. Bahan-bahan semulajadi misalnya buah, sayur dan rempah ratus sebenarnya mempunyai tindakan yang istimewa dalam mengembalikan keremajaan kulit. Kesemua bahan ini diakui mempunyai khasiat yang sangat tinggi demi menjelmakan kulit anda yang cantik dan cerah berseri-seri.
Pupur tidak sesuai dipakai setiap hari kerana perbuatan itu boleh mengering dan merosakkan kulit. Ada lima situasi yang membolehkan anda memupur wajah sendiri iaitu ketika kulit sedang stres, saat wajah keletihan, pada waktu ma lam, ketika anda bakal bergelar raja sehari dan ketika kulit anda terdedah pada cahaya matahari dalam waktu yang lama.
Timun diakui mampu menyejukkan kulit yang sedang merengsa. Parutkan timun dan tekapkan ke wajah kerana ia mampu menyejuk dan melegakan kulit wajah yang sudah letih akibat perubahan cuaca, alahan, keadaan sekeliling yang kotor dan juga terik mentari. Perlu anda tahu, timun dan kulit mempunyai kadar hidrogen yang sama.
Oleh sebab kulit berminyak mudah mendapat jerawat dan bintik hitam, asid yang terkandung dalam buah tomato dipercayai berkesan menghapuskan bintik-bintik hitam dan sebarang masalah lain yang terjadi pada kulit wajah. Pupur tomato mampu menghalus, melicin dan menaikkan seri wajah. Dengan kandungan asid folik, asid panthotenik, biotin, vitamin K dan vitamin E, ia diakui berkesan sebagai perawat kecantikan semulajadi.
Amalan memakai pupur betik secara konsisten diyakini mampu menjadikan kulit wajah lebih halus dan mulus. Selain itu, getah betik yang disapukan ke wajah juga berkesan untuk membuang sel-sel kulit mati dan seterusnya menegangkan kulit yang kendur. Pupur ini juga sesuai jika kulit anda ditumbuhi jerawat dan masalah panau. Betik yang mengandungi khasiat vitamin C, asid folat, beta karoten dan kalium mampu merawat banyak masalah kulit.

Leave a Reply